Tuesday, 10 April 2012

HUKUM HENTIKAN HAYAT SEBELUM DISAHKAN MATI


Menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam. Sehubungan itu, perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalam eutanasia (Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram  menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ianya juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.

Keputusan ini adalah selaras dengan fiman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja"
Surah an-Nisa, ayat 92

dan Hadis Rasulullah s.a.w
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah)."
Riwayat an-Nasa'i

Tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan namun membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang dilarang dan berdosa. 


Bagaimanapun, dalam keadaan dimana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada alat bantuan sokongan pernafasan, tindakan memberhentikan alat sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Sekiranya rawatan/alat bantuan sokongan tersebut digunakan untuk tujuan lain seperti alat bantuan mengeluarkan bendalir untuk memudahkan pernafasan, maka tindakan mencabut/memberhentikannya adalah tidak dibenarkan.

Berlainan pula dengan kes-kes dimana pakar perubatan berhadapan dengan dua pilihan samada meneruskan rawatan walaupun berkemungkinan memberi kesan sampingan yang boleh menyebabkan kematian atau terus berada dalam keadaan kesakitan yang berterusan, harus bagi pakar perubatan memberi rawatan/ubat-ubatab kepada pesakit (seperti ubat tahan sakit) walaupun berkemungkinan memberi kesan kepada nyawa pesakit.

Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh: "Dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan", amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan yang dihadapi pesakit dapat dikawal dan perlaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.

Dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, makan akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru itu, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.

(Fatwa telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 pada 15-17 Disember 2011)


~Petikan dipetik daripada Majalah Iman; Bil. no:2; Kolum Fatwa~

 

Secarik Tinta:
Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus Kemahiran Berfikir pernah dipersoalkan mengenai hal ini semasa dalam kuliah. Pensyarah telah menceritakan suatu situasi dimana terdapat waris pesakit yang terlalu kesian kerana melihat keadaan pesakit yang terlampau banyak wayar dibadan lalu dia cuba 'membantu' dengan cara menekan butang pada mesin, namun pesakit meninggal dunia beberapa minit kemudian. Waris tersebut dijatuhkan hukuman membunuh diatas perlakuannya yang secara tidak sengaja mematikan hayat pesakit. Oleh itu, satu undang-undang telah dibuat dan pesakit yang telah disahkan tidak mempunyai harapan untuk hidup dinasihatkan untuk melalui prosedur di atas. Dan kami diberitahu terdapat 4 orang yang perlu ada ketika prosedur mematikan hayat (mercy killing) ini dijalankan, iaitu:
i) Pengarah Hospital
ii) Doktor pakar
iii) Ulama' yang dekat dengan alamat waris menetap
iv) Ahli keluarga (waris)