Dalam syarahannya bertajuk 'Abad
Islam, Mitos atau Realiti' yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC) pada 18 Mei lalu, Prof. Dr. Ali Al'Amin Mazrui, Profesor
Kemanusiaan Albert Schweitzer, Universiti Binghamton, Amerika Syarikat (AS) dan
Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Global, State University of New York, AS
menyebut Malaysia adalah negara yang sangat demokratik berbanding negara Islam
lain.
Menurutnya, konsep 1Malaysia yang
dicetuskan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pendekatan yang meneruskan tradisi
demokrasi dalam masyarakat berbilang etnik seperti yang disarankan dalam Islam.
Bangsa Melayu bersama bangsa lain telah berjaya mempelajari pengurusan
masyarakat majmuk pelbagai etnik secara berkesan.
Dalam mengulas syarahan itu, Najib
berkata apa yang disebut oleh Profesor itu selari dengan apa yang terkandung
dalam gagasan 1Malaysia seperti prinsip toleran dan keadilan sosial. Menurut
Najib, gagasan yang diperkenalkannya itu mengandungi prinsip Islam yang
dibudayakan sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini.
Yang nyata, sejak ia mula
diperkenalkan, gagasan 1Malaysia berhasrat memupuk dan memperkukuh perpaduan
kaum di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Gagasan ini menekankan
elemen keadilan sosial. Keadilan adalah sesuatu yang sangat ditekankan Islam.
Jika kita merujuk kepada al-Quran maka kita dapati keadilan dikaitkan sebagai
suatu amanah bagi umat Islam untuk menegakkannya.
Menegakkan keadilan haruslah bebas
daripada sebarang sentimen dan bersih daripada kecenderungan kepada mana-mana
puak atau kaum. Justeru, apa yang diucapkan oleh Najib dalam ucapan sulungnya
ketika dinobatkan sebagai Perdana Menteri bahawa 1Malaysia bermaksud,
"kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia yang
merentasi tembok dan kepompong etnik" adalah menepati ajaran Islam.
Perkara tersebut dapat difahami
seperti maksud yang terkandung dalam maksud surah Surah Al-Maidah, ayat 8: "Dan
janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu
lebih hampir kepada takwa."
Pun begitu, Islam tidak melarang
menolong dan membantu kaum sendiri selagi ia dilaksanakan di atas dasar yang
hak tanpa mendiskriminasikan kaum lain. Ini dapat difahami dari maksud hadis
Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempertahankan kaumnya,
selagi yang dipertahankan itu bukan perkara yang berdosa" (Riwayat Abdu
Daud).
Seorang lelaki pernah bertanya
kepada Rasulullah SAW: "Apakah asabiyah itu seseorang yang kasih kepada
kaumnya?" Rasulullah SAW bersabda: "Tidak, tetapi asabiyah
ialah orang yang menolong kaumnya atas dasar zalim."
Di dalam sebuah negara yang mana
Islam menjadi agama rasminya, maka setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dan
agama wajar menikmati keadilan sosial. Seperti dihurai Najib di Dewan Rakyat
tahun lalu bahawa "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan
dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman. Apa yang ditegaskan Najib
itu adalah prinsip keadilan sosial yang ditekankan Islam.
Jelas, gagasan 1Malaysia akan terus
memberikan keadilan kepada semua kaum melalui amalan pentadbiran kerajaan yang
mendahulukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Malah, kerajaan akan terus
mengiktiraf sumbangan semua kaum di negara ini. Ini adalah selari dengan apa
yang pernah disebutkan oleh
Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada
semua komuniti.
Ini adalah kenyataan yang sangat
bermakna bagi seorang pemimpin yang bercita-cita untuk menegakkan keadilan
dalam pemerintahan dan pentadbirannya.
Gagasan 1Malaysia diimplementasikan
sejajar atau selari dengan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negara
memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira kaum
dan agama. Justeru, gagasan 1Malaysia tetap memberikan jaminan terhadap
kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan
Persekutuan.
Selari dengan roh agama Islam yang
menjadi agama rasmi negara, maka hak kaum bukan bumiputera turut dipelihara. Perkara
ini jelas terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan yang menyatakan dengan
jelas tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja memelihara kedudukan
istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah turut memelihara
kepentingan kaum-kaum lain.
Syariat Islam menetapkan bahawa
prinsip kebebasan, iaitu kebebasan berkeyakinan dan berakidah bagi semua
manusia adalah sebahagian daripada keadilan sosial yang diberikan Islam kepada
seluruh manusia, sama ada yang beragama Islam mahu pun yang bukan beragama
Islam. Benarlah apa yang disebut oleh Najib bahawa Islam dalam beberapa aspek
telah mendahului tamadun Barat seperti toleransi dan keadilan sosial. Tamadun
Barat telah banyak belajar aspek-apek positif dari tamadun Islam itu sendiri.
Gagasan 1Malaysia yang bertujuan
memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum juga menepati konsep
persaudaraan sesama umat manusia. Sifat Islam adalah menentang cauvinisme.
Inilah yang mahu diterapkan oleh Najib apabila beliau menyebut, "kita perlu
berfikir dan bertindak merentasi tembok perkauman."
Prinsip persaudaraan manusia di
dalam Islam meletakkan seluruh manusia dalam satu keluarga besar yang berasal
dari Nabi Adam a.s.. Pengertian ini jelas dapat difahami apabila Rasulullah SAW
sendiri pernah bersabda yang bermaksud:
"Dan aku menjadi saksi bahawa
semua manusia adalah saling bersaudara" (Hadis riwayat Abu Daud).
Dalam Fasal 25 Piagam Madinah
menegaskan bahawa: "Kaum Yahudi dan dari Bani 'Awf adalah satu
ummah…"
Apa yang penting ialah persaudaraan
sesama manusia harus diperluaskan melalui nilai kasih sayang (al-mua'akhah
bi al-mawaddah) secara tulus dan suci. Dalam konteks negara kita,
nilai-nilai penerimaan dan hormat menghormati sangat penting diamalkan kerana
ia dapat menyuburkan nilai-nilai kasih sayang. Nilai-nilai terbabit menjadi
sebahagian daripada teras-teras perpaduan gagasan 1Malaysia.
Melalui penghayatan nilai-nilai asas
kemasyarakatan tersebut maka akan terbinalah ' solidariti sosial' (ulfah
jamai'ah) yang padu. Selain itu, ia juga boleh membina kecenderungan rakyat
ke arah gemar melakukan kebajikan sosial serta kemesraan dalam interaksi sosial
(pergaulan). Dengan cara ini kita akan dapat meraikan kepelbagaian budaya (culture
diversity) tanpa sebarang sikap prejudis antara satu sama lain.
Islam adalah agama yang sangat
mengutamakan perdamaian dan membenci tindakan yang bercanggah dengannya.
Justeru, Islam dalam konteks interaksi sosial menekankan konsep tasamuh atau
toleransi. Konsep tasamuh boleh diertikan sebagai sikap berlapang dada dalam
menerima kepelbagaian dan perbezaan. Nilai ini wajar disubur dan diamalkan
supaya ia dapat menjadi pemangkin ke arah perpaduan nasional.
Dalam sidang Dewan Rakyat pada 15
Jun 2009, Najib juga ada menyebut bahawa gagasan 1Malaysia merupakan formula
yang menjadi prasyarat untuk memastikan aspirasi negara mencapai negara maju
menjelang 2020 (Wawasan 2020). Untuk mencapai hasrat murni itu maka rakyat
perlu membudayakan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka.
Justeru, nilai-nilai aspirasi
gagasan 1Malaysia yang merangkumi lapan nilai iaitu budaya berprestasi tinggi,
budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan
dan budaya inovasi adalah bertujuan membina masyarakat yang memiliki semangat
daya saing dan daya juang yang tinggi dan kental, terutama dalam berhadapan
dengan pelbagai bentuk cabaran baru.
Lapan nilai aspirasi tersebut jelas
membuktikan bahawa Gagasan 1Malaysia bukan sahaja mempunyai tekad untuk
memperkukuh perpaduan tetapi lebih jauh dari itu untuk mencipta negara-bangsa
yang memiliki kekuatan patriotisme, beretika mulia, bermoral, bermaruah, taat
menjunjung prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Negara serta taat menjalan dan
mengamalkan ajaran agama secara positif dalam pelbagai aspek kehidupan supaya
kita mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran sosial, politik dan ekonomi global
yang semakin mencabar pada hari ini.
No comments:
Post a Comment