Persoalan mengenai wanita dan institusi keluarga merupakan unsur yang amat penting dalam perkembangan sesebuah tamadun sama ada Tamadun Islam atau Tamadun yang lain.
Wanita berperanan dalam pembentukan sesebuah keluarga dan keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat.
Islam begitu menitikberatkan persoalan wanita dan keluarga di dalam al-Quran bahawa satu pertiga dari hukum-hakamnya berkaitan dengan institusi keluarga dan peraturan- peraturan kekeluargaan yang baik.
Kedudukan Wanita dalam Islam
Menurut Islam, semua aktiviti kehidupan sama ada lelaki atau wanita merupakan suatu ibadah. Maka itu tanggungjawab seseorang lelaki atau wanita adalah sama terhadap Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,
Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi bahagian yang lain. Mereka mengerjakan yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Surah Al-Taubah: Ayat 71).
Islam juga tidak mengabaikan peluang pendidikan kepada wanita.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,
Mencari ilmu itu wajib bagi semua orang Islam lelaki dan perempuan (Riwayat Ibn Majah).
Ini menunjukkan, Islam tidak membezakan lelaki atau wanita dari segi mencari ilmu pengetahuan sebagai suatu bentuk tanggungjawab kepada umat Islam.
Kedudukan Wanita dalam Tamadun Lain
Masyarakat Jahiliah meletakkan wanita dalam kedudukan terendah dari segi peranan dan moralnya, iaitu sebagai hamba dan harta.
Wanita dianggap oleh masyarakat Jahiliah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki, sehingga terdapat tradisi di kalangan kabilah-kabilah tertentu yang menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana dianggap membawa sial.
Tamadun Romawi menganggap wanita hanya sebagai hamba.
Lelaki mengahwini wanita untuk kepentingan dirinya sendiri.
Wanita tidak mempunyai sebarang hak ke atas dirinya sendiri sama ada hak memegang jawatan, persetujuan akad, mewarisi harta, menjadi saksi dan sebarang hak dalam undang-undang.
Keadaan wanita yang hanya dijadikan pelepas nafsu atau kehidupan seks bebas menyebabkan punca utama kejatuhan pemerintahan Romawi dan ketamadunannya.
Masyarakat Tamadun Greek juga turut memandang rendah kepada kaum wanita.
Mereka menganggap wanita hanya sekadar barang perhiasan yang boleh dijual beli dan hanya layak melahirkan anak sahaja.
Malah jika wanita melahirkan anak yang hodoh, mereka akan dibunuh.
Wanita juga akan dieksploitasi oleh saudara maranya dan dilayan sebagai hamba untuk bekerja keras mengikut kehendak mereka.
Layanan terhadap wanita tersebut juga dikatakan menjadi punca kejatuhan kerajaan Greek yang dianggap hebat.
Pada zaman pemerintahan Parsi dan Byzantium, kaum wanita dihina oleh ahli agama fanatik.
Mereka menjadi sasaran segala kejahatan tanpa proses pengadilan.
Kaum lelaki boleh melakukan apa sahaja terhadap wanita sebagaimana barang kepunyaan mereka.
Apabila wanita di dalam keadaan haid, mereka akan diasingkan ke luar kota khas kerana dianggap bernajis.
Kedatangan Islam menjadikan wanita sebagai penggerak dalam menuju keagungan Islam, membentuk manusia-manusia gagah untuk mempertahankan kebenaran dan membasmi kemungkaran.
Mereka mengisi hidup mereka dengan amal bakti yang ikhlas dan menjauhkan segala rupa kemaksiatan.