Monday, 16 April 2012

Formula-formula Kejayaan

Formula-Formula Kejayaan ni dipetik daripada buku "Motivasi Menjadi Wanita paling Bahagia", pengarangnya Syeikh 'Aidh Al-Qarni yang juga merupakan pengarang buku best seller "Jangan Bersedih". Dengan perkongsian formula-formula ini, semoga kita semua dapat memperbaiki kita sendiri supaya menjadi yang lebih baik.

Formula-formula Kejayaan

  • Formula untuk mendapat kemuliaan adalah taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
  • Formula untuk mendapat rezeki adalah berusaha disertai istighfar dan ketakwaan
  • Formula untuk mendapat syurga adalah tauhid
  • Formula untuk mendapat iman adalah merenungkan ayat-ayat Allah dan makhluk-makhluk-Nya
  • Formula untuk mendapat kebaikan adalah kejujuran
  • Formula untuk mendapat hati yang hidup adalah merenungkan Al-Quran, berdoa pada waktu malam, dan meninggalkan dosa
  • Formula untuk mendapat ilmu pengetahuan adalah bertanya dan menyemak dengan baik.
  • Formula untuk mendapat pertolongan dan keberhasilan adalah sabar.
  • Formula untuk mendapat kebahagiaan adalah takwa.
  • Formula untuk mendapat bertambahnya (nikmat) adalah bersyukur.
  • Formula untuk mendapat perasaan rindu kepada akhirat adalah menjaga jarak (zuhud) dengan dunia.
  • Formula untuk mendapat kemakbulan harapan dan permintaan adalah berdoa

Pedoman Hidup:

Senyuman itu sebenarnya merupakan pantulan tidak langsung dari sinaran matahari.

"Oh Tuhan kami, berilah kami rahmat ( kasih sayang ) dari sisi-Mu."   

Tuesday, 10 April 2012

HUKUM HENTIKAN HAYAT SEBELUM DISAHKAN MATI


Menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam. Sehubungan itu, perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalam eutanasia (Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram  menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ianya juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.

Keputusan ini adalah selaras dengan fiman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja"
Surah an-Nisa, ayat 92

dan Hadis Rasulullah s.a.w
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah)."
Riwayat an-Nasa'i

Tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan namun membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang dilarang dan berdosa. 


Bagaimanapun, dalam keadaan dimana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada alat bantuan sokongan pernafasan, tindakan memberhentikan alat sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Sekiranya rawatan/alat bantuan sokongan tersebut digunakan untuk tujuan lain seperti alat bantuan mengeluarkan bendalir untuk memudahkan pernafasan, maka tindakan mencabut/memberhentikannya adalah tidak dibenarkan.

Berlainan pula dengan kes-kes dimana pakar perubatan berhadapan dengan dua pilihan samada meneruskan rawatan walaupun berkemungkinan memberi kesan sampingan yang boleh menyebabkan kematian atau terus berada dalam keadaan kesakitan yang berterusan, harus bagi pakar perubatan memberi rawatan/ubat-ubatab kepada pesakit (seperti ubat tahan sakit) walaupun berkemungkinan memberi kesan kepada nyawa pesakit.

Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh: "Dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan", amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan yang dihadapi pesakit dapat dikawal dan perlaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.

Dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, makan akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru itu, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.

(Fatwa telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 pada 15-17 Disember 2011)


~Petikan dipetik daripada Majalah Iman; Bil. no:2; Kolum Fatwa~

 

Secarik Tinta:
Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus Kemahiran Berfikir pernah dipersoalkan mengenai hal ini semasa dalam kuliah. Pensyarah telah menceritakan suatu situasi dimana terdapat waris pesakit yang terlalu kesian kerana melihat keadaan pesakit yang terlampau banyak wayar dibadan lalu dia cuba 'membantu' dengan cara menekan butang pada mesin, namun pesakit meninggal dunia beberapa minit kemudian. Waris tersebut dijatuhkan hukuman membunuh diatas perlakuannya yang secara tidak sengaja mematikan hayat pesakit. Oleh itu, satu undang-undang telah dibuat dan pesakit yang telah disahkan tidak mempunyai harapan untuk hidup dinasihatkan untuk melalui prosedur di atas. Dan kami diberitahu terdapat 4 orang yang perlu ada ketika prosedur mematikan hayat (mercy killing) ini dijalankan, iaitu:
i) Pengarah Hospital
ii) Doktor pakar
iii) Ulama' yang dekat dengan alamat waris menetap
iv) Ahli keluarga (waris)


Monday, 2 April 2012

Nilai 1Malaysia Menepati Islam


Dalam syarahannya bertajuk 'Abad Islam, Mitos atau Realiti' yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 Mei lalu, Prof. Dr. Ali Al'Amin Mazrui, Profesor Kemanusiaan Albert Schweitzer, Universiti Binghamton, Amerika Syarikat (AS) dan Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Global, State University of New York, AS menyebut Malaysia adalah negara yang sangat demokratik berbanding negara Islam lain.

Menurutnya, konsep 1Malaysia yang dicetuskan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pendekatan yang meneruskan tradisi demokrasi dalam masyarakat berbilang etnik seperti yang disarankan dalam Islam. Bangsa Melayu bersama bangsa lain telah berjaya mempelajari pengurusan masyarakat majmuk pelbagai etnik secara berkesan.

Dalam mengulas syarahan itu, Najib berkata apa yang disebut oleh Profesor itu selari dengan apa yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia seperti prinsip toleran dan keadilan sosial. Menurut Najib, gagasan yang diperkenalkannya itu mengandungi prinsip Islam yang dibudayakan sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini.

Yang nyata, sejak ia mula diperkenalkan, gagasan 1Malaysia berhasrat memupuk dan memperkukuh perpaduan kaum di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Gagasan ini menekankan elemen keadilan sosial. Keadilan adalah sesuatu yang sangat ditekankan Islam. Jika kita merujuk kepada al-Quran maka kita dapati keadilan dikaitkan sebagai suatu amanah bagi umat Islam untuk menegakkannya.

Menegakkan keadilan haruslah bebas daripada sebarang sentimen dan bersih daripada kecenderungan kepada mana-mana puak atau kaum. Justeru, apa yang diucapkan oleh Najib dalam ucapan sulungnya ketika dinobatkan sebagai Perdana Menteri bahawa 1Malaysia bermaksud, "kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia yang merentasi tembok dan kepompong etnik" adalah menepati ajaran Islam.

Perkara tersebut dapat difahami seperti maksud yang terkandung dalam maksud surah Surah Al-Maidah, ayat 8: "Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa."

Pun begitu, Islam tidak melarang menolong dan membantu kaum sendiri selagi ia dilaksanakan di atas dasar yang hak tanpa mendiskriminasikan kaum lain. Ini dapat difahami dari maksud hadis Rasulullah SAW: 
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempertahankan kaumnya, selagi yang dipertahankan itu bukan perkara yang berdosa" (Riwayat Abdu Daud).

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah asabiyah itu seseorang yang kasih kepada kaumnya?" Rasulullah SAW bersabda: "Tidak, tetapi asabiyah ialah orang yang menolong kaumnya atas dasar zalim."

Di dalam sebuah negara yang mana Islam menjadi agama rasminya, maka setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dan agama wajar menikmati keadilan sosial. Seperti dihurai Najib di Dewan Rakyat tahun lalu bahawa "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman. Apa yang ditegaskan Najib itu adalah prinsip keadilan sosial yang ditekankan Islam.
Jelas, gagasan 1Malaysia akan terus memberikan keadilan kepada semua kaum melalui amalan pentadbiran kerajaan yang mendahulukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Malah, kerajaan akan terus mengiktiraf sumbangan semua kaum di negara ini. Ini adalah selari dengan apa yang pernah disebutkan oleh 
Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada semua komuniti.
Ini adalah kenyataan yang sangat bermakna bagi seorang pemimpin yang bercita-cita untuk menegakkan keadilan dalam pemerintahan dan pentadbirannya.

Gagasan 1Malaysia diimplementasikan sejajar atau selari dengan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negara memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Justeru, gagasan 1Malaysia tetap memberikan jaminan terhadap kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Selari dengan roh agama Islam yang menjadi agama rasmi negara, maka hak kaum bukan bumiputera turut dipelihara. Perkara ini jelas terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan yang menyatakan dengan jelas tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah turut memelihara kepentingan kaum-kaum lain.
Syariat Islam menetapkan bahawa prinsip kebebasan, iaitu kebebasan berkeyakinan dan berakidah bagi semua manusia adalah sebahagian daripada keadilan sosial yang diberikan Islam kepada seluruh manusia, sama ada yang beragama Islam mahu pun yang bukan beragama Islam. Benarlah apa yang disebut oleh Najib bahawa Islam dalam beberapa aspek telah mendahului tamadun Barat seperti toleransi dan keadilan sosial. Tamadun Barat telah banyak belajar aspek-apek positif dari tamadun Islam itu sendiri.
Gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum juga menepati konsep persaudaraan sesama umat manusia. Sifat Islam adalah menentang cauvinisme. Inilah yang mahu diterapkan oleh Najib apabila beliau menyebut, "kita perlu berfikir dan bertindak merentasi tembok perkauman."

Prinsip persaudaraan manusia di dalam Islam meletakkan seluruh manusia dalam satu keluarga besar yang berasal dari Nabi Adam a.s.. Pengertian ini jelas dapat difahami apabila Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud:
 "Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara" (Hadis riwayat Abu Daud).
Dalam Fasal 25 Piagam Madinah menegaskan bahawa: "Kaum Yahudi dan dari Bani 'Awf adalah satu ummah…"


Apa yang penting ialah persaudaraan sesama manusia harus diperluaskan melalui nilai kasih sayang (al-mua'akhah bi al-mawaddah) secara tulus dan suci. Dalam konteks negara kita, nilai-nilai penerimaan dan hormat menghormati sangat penting diamalkan kerana ia dapat menyuburkan nilai-nilai kasih sayang. Nilai-nilai terbabit menjadi sebahagian daripada teras-teras perpaduan gagasan 1Malaysia.
Melalui penghayatan nilai-nilai asas kemasyarakatan tersebut maka akan terbinalah ' solidariti sosial' (ulfah jamai'ah) yang padu. Selain itu, ia juga boleh membina kecenderungan rakyat ke arah gemar melakukan kebajikan sosial serta kemesraan dalam interaksi sosial (pergaulan). Dengan cara ini kita akan dapat meraikan kepelbagaian budaya (culture diversity) tanpa sebarang sikap prejudis antara satu sama lain.
Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perdamaian dan membenci tindakan yang bercanggah dengannya. Justeru, Islam dalam konteks interaksi sosial menekankan konsep tasamuh atau toleransi. Konsep tasamuh boleh diertikan sebagai sikap berlapang dada dalam menerima kepelbagaian dan perbezaan. Nilai ini wajar disubur dan diamalkan supaya ia dapat menjadi pemangkin ke arah perpaduan nasional.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 15 Jun 2009, Najib juga ada menyebut bahawa gagasan 1Malaysia merupakan formula yang menjadi prasyarat untuk memastikan aspirasi negara mencapai negara maju menjelang 2020 (Wawasan 2020). Untuk mencapai hasrat murni itu maka rakyat perlu membudayakan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka.

Justeru, nilai-nilai aspirasi gagasan 1Malaysia yang merangkumi lapan nilai iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi adalah bertujuan membina masyarakat yang memiliki semangat daya saing dan daya juang yang tinggi dan kental, terutama dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran baru.

Lapan nilai aspirasi tersebut jelas membuktikan bahawa Gagasan 1Malaysia bukan sahaja mempunyai tekad untuk memperkukuh perpaduan tetapi lebih jauh dari itu untuk mencipta negara-bangsa yang memiliki kekuatan patriotisme, beretika mulia, bermoral, bermaruah, taat menjunjung prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Negara serta taat menjalan dan mengamalkan ajaran agama secara positif dalam pelbagai aspek kehidupan supaya kita mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran sosial, politik dan ekonomi global yang semakin mencabar pada hari ini. 




Tuesday, 27 March 2012

KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM

Persoalan mengenai wanita dan institusi keluarga merupakan unsur yang amat penting dalam perkembangan sesebuah tamadun sama ada Tamadun Islam atau Tamadun yang lain. 
Wanita berperanan dalam pembentukan sesebuah keluarga dan keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. 
Islam begitu menitikberatkan persoalan wanita dan keluarga di dalam al-Quran bahawa satu pertiga dari hukum-hakamnya berkaitan dengan institusi keluarga dan peraturan- peraturan kekeluargaan yang baik.







Kedudukan Wanita dalam Islam

Menurut Islam, semua aktiviti kehidupan sama ada lelaki atau wanita merupakan suatu ibadah. Maka itu tanggungjawab seseorang lelaki atau wanita adalah sama terhadap Allah s.w.t. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, 
Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi bahagian yang lain. Mereka mengerjakan yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Surah Al-Taubah: Ayat 71).

Islam juga tidak mengabaikan peluang pendidikan kepada wanita. 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, 
Mencari ilmu itu wajib bagi semua orang Islam lelaki dan perempuan (Riwayat Ibn Majah). 
Ini menunjukkan, Islam tidak membezakan lelaki atau wanita dari segi mencari ilmu pengetahuan sebagai suatu bentuk tanggungjawab kepada umat Islam.

Kedudukan Wanita dalam Tamadun Lain

Masyarakat Jahiliah meletakkan wanita dalam kedudukan terendah dari segi peranan dan moralnya, iaitu sebagai hamba dan harta. 
Wanita dianggap oleh masyarakat Jahiliah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki, sehingga terdapat tradisi di kalangan kabilah-kabilah tertentu yang menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana dianggap membawa sial.

Tamadun Romawi menganggap wanita hanya sebagai hamba. 
Lelaki mengahwini wanita untuk kepentingan dirinya sendiri. 
Wanita tidak mempunyai sebarang hak ke atas dirinya sendiri sama ada hak memegang jawatan, persetujuan akad, mewarisi harta, menjadi saksi dan sebarang hak dalam undang-undang.
Keadaan wanita yang hanya dijadikan pelepas nafsu atau kehidupan seks bebas menyebabkan punca utama kejatuhan pemerintahan Romawi dan ketamadunannya.


Masyarakat Tamadun Greek juga turut memandang rendah kepada kaum wanita. 


Mereka menganggap wanita hanya sekadar barang perhiasan yang boleh dijual beli dan hanya layak melahirkan anak sahaja. 
Malah jika wanita melahirkan anak yang hodoh, mereka akan dibunuh. 
Wanita juga akan dieksploitasi oleh saudara maranya dan dilayan sebagai hamba untuk bekerja keras mengikut kehendak mereka. 
Layanan terhadap wanita tersebut juga dikatakan menjadi punca kejatuhan kerajaan Greek yang dianggap hebat.


Pada zaman pemerintahan Parsi dan Byzantium, kaum wanita dihina oleh ahli agama fanatik. 
Mereka menjadi sasaran segala kejahatan tanpa proses pengadilan. 
Kaum lelaki boleh melakukan apa sahaja terhadap wanita sebagaimana barang kepunyaan mereka. 
Apabila wanita di dalam keadaan haid, mereka akan diasingkan ke luar kota khas kerana dianggap bernajis.

Kedatangan Islam menjadikan wanita sebagai penggerak dalam menuju keagungan Islam, membentuk manusia-manusia gagah untuk mempertahankan kebenaran dan membasmi kemungkaran. 
Mereka mengisi hidup mereka dengan amal bakti yang ikhlas dan menjauhkan segala rupa kemaksiatan.




Sunday, 25 March 2012

PERBEZAAN ANTARA TAMADUN

Perbezaan Antara Tamadun Islam Dan Tamadun Barat

Semua orang tahu tamadun Islam dan tamadun barat ada banyak perbezaannya. Di sini kami akan memberi beberapa perbezaan yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan pengunjung sekalian. Terdapat 4 perkara yang secara ringkasnya menunjukkan  perbezaan antara tamadun Islam dan tamadun barat. Antaranya :
  • Kedudukan Agama
Tamadun Islam:
- Islam menjadi cara hidup yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia samada keduniaan / keagamaan.
- Pembaharuan dalam Islam adalah mengikut agama bukan agama mengikut pembaharuan. Walaupun begitu ia tetap 'flexible' dan tidak rigid.

Tamadun Barat:
- Bagi tamadun Barat agama adalah sebahagian daripada kebudayaan. Kebudayaan sentiasa mengalami perubahan dan akhirnya agama juga dicorak oleh perubahan.

  • Konsep Kesepaduan Dan Pengawalan
Tamadun Islam:
- Terdapat konsep kesepaduan dan pengawalan dalam Islam. Segala bentuk pembangunan kebendaan berkait rapat dengan kerohanian. Segala urusan tidak terlepas daripada mengikut prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Tamadun Barat:
- Tamadun Barat melihat perkara-perkara keduniaan hanya untuk kehidupan di dunia semata-mata.
- Segala urusan yang dilakukan tidak ada kaitan dengan agama
- Terikat dengan undang-undang tapi pengawalannya terlalu longgar.
- Bentuk pengawalan tidak didasarkan kepada iman yang kukuh.
  • Konsep Kemajuan
Tamadun Islam:
-  Islam juga mengambil kira aspek kemajuan dan perubahan tapi dengan menegaskan bagaimana cara ia dicapai dan apakah matlamatnya.
- Islam menolak konsep 'matlamat menghalalkan cara'.

Tamadun Barat:
- Kemajuan berdasarkan keuntungan semata-mata.
- Berpegang dengan konsep 'matlamat menghalalkan cara'.

  • Penekanan Sudut Kemajuan
Tamadun Islam:
- Islam menekankan kedua-dua aspek kerohanian dan kebendaan. Kemajuan dalam Islam bersifat lengkap.
- Pembangunan dan kemajuan dalam Islam adalah alat untuk mencapai kesempurnaan zaman.
- Fokus utama pembangunan dalam Islam adalah dalaman manusia itu sendiri. 

Tamadun Barat:
- Menitikberatkan aspek kebendaan dengan mengenepikan aspek kerohanian.
- Mereka menghadapi krisis nilai yang teruk akibat mengabaikan aspek kemajuan dari sudut kerohanian / spiritual. 



BICARA HATI

"Aku mengamati semua sahabat dan aku tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.

Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi aku tidak menemukan pakaian yang lebih baik dari taqwa.


Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun aku tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.


Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar."
...Saidina Umar Al-Khattab...

Saturday, 24 March 2012

MENGENALI LELAKI DAN PEREMPUAN


Teringat di fikiran mengenai emel seorang rakan yang ketika itu masih belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Emel yang masih saya simpan sejak tahun 2005 ini sangat menyedarkan dan sesuai dikongsi terutamanya bagi seorang Muslim. Mungkin pembaca juga pernah membacanya di laman sosial lain, dan kali ini... serupa juga, berbentuk perkongsian ilmiah dan santapan rohani bagi diri yang perlu sentiasa diingati.

"Untung la jadi lelaki... tak payah nak susah-susah bagai.. bla.. bla.. bla.."
"Untung la ko jadi perempuan.. manja!! bla. bla. bla"

Kita sentiasa mempertikaikan beratnya tanggungjawab seorang lelaki dan wanita itu. Jadi, saya ambil petikan daripada emel berkenaan. Semoga kita dapat berfikir-fikiran :) 


15 Februari 2005

Baguslah kalau kita sudah tahu akan perkara ini sekurang-kurangnya kita tidak cepat melenting jika berlaku apa-apa isu antara kaum ADAM dan HAWA dan saya juga ingin tambah iaitu betapa beratnya menjadi seorang lelaki, diantaranya adalah seperti berikut:-

Lelaki

  1. Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.
  2. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. BERATKAN ! 
  3. Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab keatas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN ! 
  4. Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin ini. Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. 

Kalau nak di bayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung. Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.


Wanita
  1. Wanita auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. 
  2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. 
  3. Wanita saksinya kurang berbanding lelaki.
  4. Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki.
  5. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. 
  6. Wanita wajib taat kpd suaminya tetapi suami tak perlu taat pd isterinya taat kepada ibunya). 
  7. Talak terletak di tgn suami dan bukan isteri. 
  8. Wanita kurang dlm beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya?? Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. 

Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: Isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki ini: suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja: Sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya. (betulkan jika saya tersilap).

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaALLAH... sayangnya ALLAH pada wanita .... kan?
  

"Akhir kalam, lelaki dan perempuan itu dicipta mempunyai keistimewaan masing-masing. Kita patut bersyukur dengan setiap pemberianNya"

SENIBINA

5 MONUMEN YANG HEBAT!!!
 Assalamualaikum WBT dan salam satu malaysia.... =)

Ok entry kali ni kami akan membawa anda semua melancong hehehehe melancong dalam blog kami 
 laa..lalalala...mesti anda semua sangat teruja kan..kan.. Kami akan memperkenalkan kepada anda 5
 senibina daripada beberapa tamadun yang masih teguh berdiri hingga ke hari ini ..

 
TAJ MAHAL LAMBANG CINTA (Tamadun India)

Bahagian dalam taj mahal
         Mengikut sejarahnyanya ,pembinaan taj mahal adalah lambang kasih sayang dan cinta sejati daripada seorang suami  (shah  jahan) kepada isterinya( mumtaz mahal) .  Shah jahan adalah Maharaja Dinasti Munghal ,telah memerintahkan Ustaz Ahmad membentuk bangunan ini setelah  kematian isterinya yang tersayang. Isterinya Mumtaz Mahal telah meninggal ketika melahirkan anak mereka yang ke-14 Begum Gauhara ketika Shah Jahan berada di medan pertempuran pada tahun 1631 ketika itu Shah Jahan dalam kempen memperluaskan tanah jajahannya.

Untuk pengetahuan semua Taj Mahal adalah salah satu 7 benda ajaib di dunia. Wow bagaimana ia boleh menjadi salah satu benda ajaib di dunia???

MONUMEN TAJ MAHAL YANG INDAH
Pembinaan trukturnya yang begitu indah dan mempersonakan akan membuat kita semua tidak berkelip2 –kelip mata memandangnya . Menurut sejarah lagi,ustaz Ahmad telah mengumpulkan 20,000 orang pekerja yang terdiri daripada tukang batu, tukang emas, dan pengukir yang termasyhur dari seluruh dunia.Dengan bumbung, kubah dan menara yang diperbuat daripada marmar putih, serta seni mozek yang indah.Sebanyak 43 jenis batu permata, termasuknya berlian, jed, kristal, topaz dan nilam telah digunakan. Kubahnya turit dihiasi dengan emas membuatkan ia begitu bercahaya. Pembinaan Taj Mahal menelan masa selama 22 tahun sebelum ia siap sepenuhnya.


 

TEMBOK BESAR CHINA KUBU PERTAHANAN NEGARA(TAMADUN CHINA)


TEMBOK BESAR CHINA
   Pembinaan tembok besar China adalah sesuatu yang begitu menakjubkan. Bermula sebagai kubu pertahanan ia kini menjadi salah satu tempat yang wajib anda kunjungi jika anda berada di china. Mari kita lihat rentetan pembinaannya sehingga ia menjadi satu kubu  pertahanan yang begitu kukuh.
Tembok besar China,merupakan kubu China silam yang dibina sekitar 200 SM dan diperkukuh antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17, semasa Dinasti Ming, untuk melindungi China daripada serangan puak Mongol dan puak Turkic.Panjang tembok ini ialah 6,352 km, daripada Shanhai Pass sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang.
Tembok Besar China mula dibina pada abad ke-9 sebelum Masihi. Demi menghalang pencerobohan suku kaum di bahagian utara, pemerintah di tengah China pada waktu itu telah membina tembok yang menyambungkan kubu-kubu pertahanan di kawasan sempadan, itulah Tembok Besar yang paling awal. Sehingga Zaman Negeri-negeri Berperang, perang berlaku terus-menerus antara bangsawan dan raja pelbagai negeri. Demi menghalang serangan negeri lain, pelbagai negeri masing-masing telah membina Tembok Besar di kawasan pergunungan.
Pada tahun 221 sebelum Masihi, Maharaja Qinshihuang Dinasti Qin telah menyatukan China. Baginda menyambungkan Tembok Besar yang dibina oleh pelbagai negeri sepanjang lebih 5 ribu kilometer bagi memghalang serangan askar suku kaum normad di padang rumput Mongolia di sebelah utara. Selepas Dinasti Qin, Dinasti Han telah memanjangkan Tembok Besar itu sehingga lebih 10 ribu kilometer. Dalam masa selama lebih 2 ribu tahun yang lalu, penguasa pelbagai dinasti China masing-masing telah membina Tembok Besar, panjang keseluruhannya mencatat 50 ribu kilometer, lebih panjang daripada satu lingkaran bumi.
Tembok Besar dibina dengan batu dan batu bata panjang, tengahnya diisi dengan tanah atau ketulan batu. Tinggi Tembok Besar umumnya belasan meter dan lebar di atas Tembok Besar itu kira-kira 5 meter, 4 orang askar yang menunggang kuda dapat berjalan sejajar di atasnya, senjata dan bahan makanan dapat diangkut di atasnya. Askar boleh turun dan naik menerusi tangga dan pintu yang dibina di sebelah dalam. Banyak kubu pertahanan telah dibina di sepanjang Tembok Besar. Kubu pertahanan itu mempunyai banyak fungsi. Fungsi pertama ialah tempat askar berlindung semasa berperang. Mereka juga boleh berehat di kubu itu pada waktu aman disamping menjadi tempat menyimpan senjata dan bekalan bahan makanan, apabila musuh menyerang, tahi serigala dibakar di atas kubu pertahanan tersebut membentuk asap untuk menyampaikan isyarat bahaya dengan segera.


PIRAMID  AGUNG KUFU BANGUNAN YANG  UNIK (Tamadun Mesir)


 

Bagaimanakah piramid kufu dikatakan seni bina yang unik yer...pasti anda semua tertanya-tanyakan... Piramid kufu adalah senibina yang unik dimana bentuknya telah dibina sesuai dengan keadaan persekitaran padang pasir . Jarang kita dapat melihat bentuk bangunan yang berbentuk piramid seperti piramid kufu ini.
 Piramid Agung Kufu merupakan satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang tertua dan yang terakhir masih tinggal. Piramid ini dipercayai dibina sebagai makam untuk Firaun Kufu (nama Greek: Cheops; tempoh pemerintahan: 2606-2583 SM) daripada Wangsa Mesir Keempat. Arkiteknya ialah Hemon, saudara Kufu. Piramid ini siap dibina pada sekitar tahun 2580 SM, setelah menelan masa 20 tahun.

Piramid Agung Kufu merupakan piramid yang terbesar dan paling terkenal serta tertua antara tiga piramid (Piramid Kufu, Piramid Khafre dan Piramid Menkaure) di Bandar Kematian Giza, Mesir. Kawasan tersebut bersebelahan dengan bandar moden Kaherah, dan menjadi bahagian utama bagi kompleks bangunan-bangunan yang merangkumi laluan pejalan kaki yang istimewa, dua kuil, tiga piramid yang kecil (digelar piramid permaisuri), lubang-lubang untuk mengebumikan bot-bot serta mastaba-mastaba untuk bangsawan. Pada masa itu, juga terdapat sebuah bandar untuk pekerja-pekerja yang mengandungi antaranya perkuburan, kilang-kilang roti, kilang bir serta kompleks peleburan tembaga. Satu dari piramid kecil mengandungi makam ratu Hetepheres (dijumpai pada 1925), yang merupakan adik dan isteri Snefru dan juga ibu kepada Khufu.

Pada tahun 1301, satu gempa bumi yang besar telah melonggarkan kebanyakan batu selongsong yang kemudian diangkut ke Kairo oleh An-Nasir Nasir-ad-Din al-Hasan Sultan Bahri untuk pembinaan masjid-masjid dan kubu-kubu. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak batu selongsong di sekitar kaki piramid.Piramid Agung Kufu mengandungi 2 juta batu blok yang setiap satunya seberat 1 tan. Seluruh Piramid diliputi dengan batu kapur yang dilicinkan sehingga kilauannya dapat diperhatikan di tempat yang berbatu-batu jauh.

Piramid ini dibina menggunakan batu kapur, basalt atau granit yang dipotong dan dibentuk. Terasnya dibuat daripada batu kapur kasar berkualiti rendah yang diambil dari kuari di selatan Piramid Agung Khufu. Blok batu tersebut seberat purata antara dua hingga empat tan, dengan yang terberat digunakan sebagai asas piramid, dengan anggaran 2.4 juta blok telah digunakan dalam pembinaan. Batu kapur bermutu tinggi digunakan bagi selongsong luar, dengan sesetengah blok seberat sehingga 15 tan. Batu kapur ini datangnya dari Tura, sekitar 8 batu diseberang sungai Nil

Jumlah keseluruhan jisim piramid dianggarkan sekitar 5.9 juta tan. Isipadu (termasuk anak bukit dalaman) dipercayai sebesar 2,600,000 meter padu. Piramid ini merupakan piramid terbesar di Mesir dan tertinggi di dunia dan hanya diatasi oleh Piramid Agung Cholula di Puebla, Mexico, yang, sungguhpun jauh lebih rendah, merangkumi isipadu yang lebih besar.



ALHAMBRA (Tamadun Islam)
 
Alhambra membawa maksud istana merah / lembayung adalah nama sebuah kompleks istana
benteng yang megah dari kekhalifahan bani ummayyah dimana ia terletak  di Granada, Spanyol bahagian selatan (dikenali sebagai Al-Andalus ketika benteng ini didirikan), yang mencakupi wilayah berbukit di sempadan kota Granada. Istana ini dibangunkan  sebagai tempat tinggal khalifah beserta para pembesarnya.
Warna menaranya dan dinding yang dikelilingi oleh seluruh bukit La Sabica akan berwarna perak apabila malam hari dan berwarna emas apabila disinari cahaya matahari.  

Dicipta pada asalnya untuk tujuan ketenteraan, Alhambra adalah sebuah "Alcazaba" (kubu), "Alcazar" (istana) dan kecil "medina" (bandar), semua dalam satu. Ini watak tiga membantu untuk menjelaskan ciri-ciri yang banyak monumen.Ia telah dibina pada pertengahan abad ke-14 oleh Raja-raja Moor Emiriah Granada di dalam al-Andalus, menduduki atas bukit Assabica pada sempadan tenggara bandar Granada.

AL HAMBRA MONUMEN TAMADUN ISLAM
Istana Moorish Alhambra telah dibina untuk Emirs Islam terakhir di Sepanyol dan mahkamah, dinasti Nasrid. Selepas Reconquista (penawanan semula) dengan Católicos Reyes ("Katolik Monarchs") pada tahun 1492, beberapa bahagian telah digunakan oleh pemerintah Kristian. Istana Charles V, dibina oleh Charles V, Maharaja Rom Suci pada tahun 1527, telah dimasukkan ke dalam Alhambra dalam kubu pertahanan Nasrid. Selepas dibenarkan untuk jatuh ke dalam keadaan rosak selama berabad-abad, Alhambra "ditemui" dalam abad ke-19 oleh ulama dan pelancong Eropah, dengan pemulihan bermula. Ia kini merupakan salah satu tarikan utama pelancong di Sepanyol, mempamerkan seni bina Islam yang paling penting dan terkenal di negara ini, bersama-sama dengan bangunan abad ke-16


COLOSSEUM PENTAS PERTUNJUKKAN (TAMADUN ROM)
Colosseum antara senibina yang juga menjadi salah satu antara 7 benda ajaib di dunia. Ia terletak di Rom ,dimana ia merupakan sebuah monumen sejarah yang pada asalnya adalah sebuah pentas pertunjukkan . Ia merupakan bangunan yang terbuka berbentuk separa bulat dan mempunyai pentas serta tempat duduk. Dibina semasa pemerintahan Maharaja Vespasian di antara tahun 70 hingga 72 dan disiapkan pada tahun 80 oleh anaknya lelakinya, Titus.
Colosseum telah rosak akibat kebakaran kerana disambar petir, namun ia masih digunakan sehingga tahun 217.  Ia telah mula dibaiki pada tahun 238 untuk dijadika tempat pertunjukkan gladiator sehinnga pertunjukkan tersebut diberhentikan secara beransur-ansur. 2 gempa bumi yang berlaku pada tahun 442 dan 508 telah menyebabkan kerosakan yang begitu teruk terhadap bangunantersebut. Setelah itu ia digunakan pula untuk menyimpan pelbagai jenis binatang sehingg tahun 524. Pada tahun 847 dan 1349 colosseum mengalami kerosakan yang lebih teruk lagi disebabkan oleh gempa bumi. Namun begitu sebahagian daripada struktur bangunan ini masih berdiri teguh hingga kehari ini. Banyak batu marmar digunakan untuk membaik pulih bahagian-bahagian colosseum yang telah rosak.

Pada abad 16 dan 17, keluarga-keluarga Roman menggunakan Colosseum sebagai tempat pengambilan batu marmar untuk pembinaan bangunan Basilika St. Peter dan kediaman khusus palazzi, keluarga Roman. Pada tahun 1794, Paus Benedict XIV telah melarang menjadikan Colosseum sebagai tempat perlombongan sebagai langkah untuk memelihara bangunan tersebut.
Pada tahun 2000 , sebuah  telah berlakunya tunjuk perassan di Itali untuk menentang penggunaan hukuman mati untuk negara-negara di seluruh dunia (di Itali, hukuman mati dihapuskan pada tahun 1948). Beberapa tunjuk perasaan telah berlakudihadapan Colosseum. Bermula dari saat tersebur, sebagai sebuah isyarat untuk menentang hukuman mati tersebut, penduduk tempatan mengganti warna Colosseum di malam hari dari putih menjadi emas dengan menerangkan bangunan tersebut menggunakan lilin dan lampu neon sehingga seluruh dunia menghapuskan tindakan penghukuman mati itu.
Apa yang menariknnya mengenai monumen ini adalah keteguhannya yang begitu kuat sehinggakan ia masih mam pu berdiri hingga ke hari ini. 

MACHU PICCHU SIMBOL KERAJAAN INKA

Machu Picchu (yang bermaksud "Gunung Tua" dalam bahasa Quechua; sering juga disebut "Kota Inca yang hilang") adalah sebuah lokasi runtuhan Inca pra-Columbus yang terletak di wilayah pergunungan pada ketinggian sekitar 2,350 m diatas permukaan laut. Machu Picchu berada di atas lembah Urubamba di Peru, sekitar 70 km ke barat laut Cusco.

Merupakan simbol Kerajaan Inka yang paling terkenal. Dibangunkan pada sekitar tahun 1450, tetapi ditinggalkan seratus tahun kemudian, ketika bangsa Sepanyol berjaya menakluki Kerajaan Inka. Tapak bersejarah ini telah dilupakan oleh masyarakat dunia antarabangsa, tetapi tidak oleh masyarakat tempatannya. Tapak ini kembali ditemukan oleh seorang ahliarkeologi dari Universiti Yale yang bernama Hiram Bingham III yang menemukannya kembali pada tahun 1911. Sejak itu, Machu Picchu menjadi bahan pelancongan berasaskan sejarah yang menarik bagi para pelancong tempatan mahupun asing.
Machu Picchu dibangun dengan gaya Inka kuno dengan batu tembok berpelitur. Bangunan utamanya adalah Intihuatana, Kuil Matahari, dan Ruangan Tiga Jendela. Tempat-tempat ini disebut sebagai Distrik Sakral dari Machu Picchu.

~~all pictures are credit to google~~

Wednesday, 21 March 2012

DEFINISI TAMADUN

Jika kita rujuk daripada mana-mana sumber rujukan sekali pun, sama ada sumber tersebut datangnya daripada buku teks sejarah, majalah, dan sebagainya kita akan dapati maksud tamadun lebih kurang sama sahaja.

'Tamadun' berasal daripada perkataan maddana (Bahasa Arab) yang diterbitkan daripada perkataan madani. Kedua-dua perkataan yang telah disebutkan sebenarnya berasal daripada deen.

Maksud istilah-istilah tersebut ialah:
  1. maddana : merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti
  2. madani : merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji.
  3. deen : bermaksud agama, iaitu menggambarkan kehidupan beragama
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa....
Tamadun ialah sejumlah pencapaian dan pembangunan dalam segala perlakuan, pemikiran dan kemajuan yang tinggi, baik, halus dan sopan ke arah pembentukan peribadi dan komuniti yang memiliki personaliti, tatasusila dan budi pekerti yang terpuji yang membentuk sesebuah masyarakat atau negara bangsa.

Maksud 'tamadun' daripada perkataan lain pula ialah:

Bahasa Arab 
hadarah : merujuk kepada perbuatan duduk di bandar dan perilaku kehidupan yang tinggi.

Bahasa Inggeris
civilization : berasal daripada perkataan civitas (bahasa latin) yang bermaksud bandar atau kota. Secara umumnya, tamadun diertikan sebagai peradaban yang membawa maksud keadaan dan tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani dalam sesebuah bangsa dan masyarakat.

TAK KENAL MAKA TAK CINTUN

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Pertama kali masuk kelas Tamadun. Ehem.. ehem.. jangan buat pro sangat la mata yang segar tu... Situasi dalam kelas.. Soalan pertama ditanya:

Puan : Apa yang kamu tahu tentang tamadun?
Pelajar : Bosaaaann (sambil buat reaksi menguap)

***Hamboih.. gaya macam puan tengah menerangkan maksud ketamadunan dengan isi-isinya pulak***

Pokoknya disini, apabila kita berbicara mengenai hal-hal zaman 'prasejarah' ni, boleh kata semua pelajar akan mengatakan ia merupakan 'ubat tidur' yang paling berkesan.

Namun, disebalik sejarah tamadun-tamadun dunia yang ada, tersingkap 1001 rahsia dan cerita yang menarik di dalam setiap tamadun itu sendiri.

Blog ini dicipta sedikit sebanyak untuk memberi informasi mengenai ketamadunan. Kami mengalu-alukan sebarang bentuk komen dan sumbangan daripada pembaca. Sekian (",)