Monday, 16 April 2012

Formula-formula Kejayaan

Formula-Formula Kejayaan ni dipetik daripada buku "Motivasi Menjadi Wanita paling Bahagia", pengarangnya Syeikh 'Aidh Al-Qarni yang juga merupakan pengarang buku best seller "Jangan Bersedih". Dengan perkongsian formula-formula ini, semoga kita semua dapat memperbaiki kita sendiri supaya menjadi yang lebih baik.

Formula-formula Kejayaan

  • Formula untuk mendapat kemuliaan adalah taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
  • Formula untuk mendapat rezeki adalah berusaha disertai istighfar dan ketakwaan
  • Formula untuk mendapat syurga adalah tauhid
  • Formula untuk mendapat iman adalah merenungkan ayat-ayat Allah dan makhluk-makhluk-Nya
  • Formula untuk mendapat kebaikan adalah kejujuran
  • Formula untuk mendapat hati yang hidup adalah merenungkan Al-Quran, berdoa pada waktu malam, dan meninggalkan dosa
  • Formula untuk mendapat ilmu pengetahuan adalah bertanya dan menyemak dengan baik.
  • Formula untuk mendapat pertolongan dan keberhasilan adalah sabar.
  • Formula untuk mendapat kebahagiaan adalah takwa.
  • Formula untuk mendapat bertambahnya (nikmat) adalah bersyukur.
  • Formula untuk mendapat perasaan rindu kepada akhirat adalah menjaga jarak (zuhud) dengan dunia.
  • Formula untuk mendapat kemakbulan harapan dan permintaan adalah berdoa

Pedoman Hidup:

Senyuman itu sebenarnya merupakan pantulan tidak langsung dari sinaran matahari.

"Oh Tuhan kami, berilah kami rahmat ( kasih sayang ) dari sisi-Mu."   

Tuesday, 10 April 2012

HUKUM HENTIKAN HAYAT SEBELUM DISAHKAN MATI


Menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam. Sehubungan itu, perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalam eutanasia (Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram  menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ianya juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.

Keputusan ini adalah selaras dengan fiman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja"
Surah an-Nisa, ayat 92

dan Hadis Rasulullah s.a.w
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah)."
Riwayat an-Nasa'i

Tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan namun membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang dilarang dan berdosa. 


Bagaimanapun, dalam keadaan dimana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada alat bantuan sokongan pernafasan, tindakan memberhentikan alat sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Sekiranya rawatan/alat bantuan sokongan tersebut digunakan untuk tujuan lain seperti alat bantuan mengeluarkan bendalir untuk memudahkan pernafasan, maka tindakan mencabut/memberhentikannya adalah tidak dibenarkan.

Berlainan pula dengan kes-kes dimana pakar perubatan berhadapan dengan dua pilihan samada meneruskan rawatan walaupun berkemungkinan memberi kesan sampingan yang boleh menyebabkan kematian atau terus berada dalam keadaan kesakitan yang berterusan, harus bagi pakar perubatan memberi rawatan/ubat-ubatab kepada pesakit (seperti ubat tahan sakit) walaupun berkemungkinan memberi kesan kepada nyawa pesakit.

Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh: "Dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan", amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan yang dihadapi pesakit dapat dikawal dan perlaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.

Dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, makan akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru itu, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.

(Fatwa telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 pada 15-17 Disember 2011)


~Petikan dipetik daripada Majalah Iman; Bil. no:2; Kolum Fatwa~

 

Secarik Tinta:
Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus Kemahiran Berfikir pernah dipersoalkan mengenai hal ini semasa dalam kuliah. Pensyarah telah menceritakan suatu situasi dimana terdapat waris pesakit yang terlalu kesian kerana melihat keadaan pesakit yang terlampau banyak wayar dibadan lalu dia cuba 'membantu' dengan cara menekan butang pada mesin, namun pesakit meninggal dunia beberapa minit kemudian. Waris tersebut dijatuhkan hukuman membunuh diatas perlakuannya yang secara tidak sengaja mematikan hayat pesakit. Oleh itu, satu undang-undang telah dibuat dan pesakit yang telah disahkan tidak mempunyai harapan untuk hidup dinasihatkan untuk melalui prosedur di atas. Dan kami diberitahu terdapat 4 orang yang perlu ada ketika prosedur mematikan hayat (mercy killing) ini dijalankan, iaitu:
i) Pengarah Hospital
ii) Doktor pakar
iii) Ulama' yang dekat dengan alamat waris menetap
iv) Ahli keluarga (waris)


Monday, 2 April 2012

Nilai 1Malaysia Menepati Islam


Dalam syarahannya bertajuk 'Abad Islam, Mitos atau Realiti' yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 Mei lalu, Prof. Dr. Ali Al'Amin Mazrui, Profesor Kemanusiaan Albert Schweitzer, Universiti Binghamton, Amerika Syarikat (AS) dan Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Global, State University of New York, AS menyebut Malaysia adalah negara yang sangat demokratik berbanding negara Islam lain.

Menurutnya, konsep 1Malaysia yang dicetuskan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pendekatan yang meneruskan tradisi demokrasi dalam masyarakat berbilang etnik seperti yang disarankan dalam Islam. Bangsa Melayu bersama bangsa lain telah berjaya mempelajari pengurusan masyarakat majmuk pelbagai etnik secara berkesan.

Dalam mengulas syarahan itu, Najib berkata apa yang disebut oleh Profesor itu selari dengan apa yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia seperti prinsip toleran dan keadilan sosial. Menurut Najib, gagasan yang diperkenalkannya itu mengandungi prinsip Islam yang dibudayakan sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini.

Yang nyata, sejak ia mula diperkenalkan, gagasan 1Malaysia berhasrat memupuk dan memperkukuh perpaduan kaum di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Gagasan ini menekankan elemen keadilan sosial. Keadilan adalah sesuatu yang sangat ditekankan Islam. Jika kita merujuk kepada al-Quran maka kita dapati keadilan dikaitkan sebagai suatu amanah bagi umat Islam untuk menegakkannya.

Menegakkan keadilan haruslah bebas daripada sebarang sentimen dan bersih daripada kecenderungan kepada mana-mana puak atau kaum. Justeru, apa yang diucapkan oleh Najib dalam ucapan sulungnya ketika dinobatkan sebagai Perdana Menteri bahawa 1Malaysia bermaksud, "kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia yang merentasi tembok dan kepompong etnik" adalah menepati ajaran Islam.

Perkara tersebut dapat difahami seperti maksud yang terkandung dalam maksud surah Surah Al-Maidah, ayat 8: "Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa."

Pun begitu, Islam tidak melarang menolong dan membantu kaum sendiri selagi ia dilaksanakan di atas dasar yang hak tanpa mendiskriminasikan kaum lain. Ini dapat difahami dari maksud hadis Rasulullah SAW: 
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempertahankan kaumnya, selagi yang dipertahankan itu bukan perkara yang berdosa" (Riwayat Abdu Daud).

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah asabiyah itu seseorang yang kasih kepada kaumnya?" Rasulullah SAW bersabda: "Tidak, tetapi asabiyah ialah orang yang menolong kaumnya atas dasar zalim."

Di dalam sebuah negara yang mana Islam menjadi agama rasminya, maka setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dan agama wajar menikmati keadilan sosial. Seperti dihurai Najib di Dewan Rakyat tahun lalu bahawa "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman. Apa yang ditegaskan Najib itu adalah prinsip keadilan sosial yang ditekankan Islam.
Jelas, gagasan 1Malaysia akan terus memberikan keadilan kepada semua kaum melalui amalan pentadbiran kerajaan yang mendahulukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Malah, kerajaan akan terus mengiktiraf sumbangan semua kaum di negara ini. Ini adalah selari dengan apa yang pernah disebutkan oleh 
Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada semua komuniti.
Ini adalah kenyataan yang sangat bermakna bagi seorang pemimpin yang bercita-cita untuk menegakkan keadilan dalam pemerintahan dan pentadbirannya.

Gagasan 1Malaysia diimplementasikan sejajar atau selari dengan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negara memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Justeru, gagasan 1Malaysia tetap memberikan jaminan terhadap kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Selari dengan roh agama Islam yang menjadi agama rasmi negara, maka hak kaum bukan bumiputera turut dipelihara. Perkara ini jelas terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan yang menyatakan dengan jelas tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah turut memelihara kepentingan kaum-kaum lain.
Syariat Islam menetapkan bahawa prinsip kebebasan, iaitu kebebasan berkeyakinan dan berakidah bagi semua manusia adalah sebahagian daripada keadilan sosial yang diberikan Islam kepada seluruh manusia, sama ada yang beragama Islam mahu pun yang bukan beragama Islam. Benarlah apa yang disebut oleh Najib bahawa Islam dalam beberapa aspek telah mendahului tamadun Barat seperti toleransi dan keadilan sosial. Tamadun Barat telah banyak belajar aspek-apek positif dari tamadun Islam itu sendiri.
Gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum juga menepati konsep persaudaraan sesama umat manusia. Sifat Islam adalah menentang cauvinisme. Inilah yang mahu diterapkan oleh Najib apabila beliau menyebut, "kita perlu berfikir dan bertindak merentasi tembok perkauman."

Prinsip persaudaraan manusia di dalam Islam meletakkan seluruh manusia dalam satu keluarga besar yang berasal dari Nabi Adam a.s.. Pengertian ini jelas dapat difahami apabila Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud:
 "Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara" (Hadis riwayat Abu Daud).
Dalam Fasal 25 Piagam Madinah menegaskan bahawa: "Kaum Yahudi dan dari Bani 'Awf adalah satu ummah…"


Apa yang penting ialah persaudaraan sesama manusia harus diperluaskan melalui nilai kasih sayang (al-mua'akhah bi al-mawaddah) secara tulus dan suci. Dalam konteks negara kita, nilai-nilai penerimaan dan hormat menghormati sangat penting diamalkan kerana ia dapat menyuburkan nilai-nilai kasih sayang. Nilai-nilai terbabit menjadi sebahagian daripada teras-teras perpaduan gagasan 1Malaysia.
Melalui penghayatan nilai-nilai asas kemasyarakatan tersebut maka akan terbinalah ' solidariti sosial' (ulfah jamai'ah) yang padu. Selain itu, ia juga boleh membina kecenderungan rakyat ke arah gemar melakukan kebajikan sosial serta kemesraan dalam interaksi sosial (pergaulan). Dengan cara ini kita akan dapat meraikan kepelbagaian budaya (culture diversity) tanpa sebarang sikap prejudis antara satu sama lain.
Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perdamaian dan membenci tindakan yang bercanggah dengannya. Justeru, Islam dalam konteks interaksi sosial menekankan konsep tasamuh atau toleransi. Konsep tasamuh boleh diertikan sebagai sikap berlapang dada dalam menerima kepelbagaian dan perbezaan. Nilai ini wajar disubur dan diamalkan supaya ia dapat menjadi pemangkin ke arah perpaduan nasional.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 15 Jun 2009, Najib juga ada menyebut bahawa gagasan 1Malaysia merupakan formula yang menjadi prasyarat untuk memastikan aspirasi negara mencapai negara maju menjelang 2020 (Wawasan 2020). Untuk mencapai hasrat murni itu maka rakyat perlu membudayakan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka.

Justeru, nilai-nilai aspirasi gagasan 1Malaysia yang merangkumi lapan nilai iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi adalah bertujuan membina masyarakat yang memiliki semangat daya saing dan daya juang yang tinggi dan kental, terutama dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran baru.

Lapan nilai aspirasi tersebut jelas membuktikan bahawa Gagasan 1Malaysia bukan sahaja mempunyai tekad untuk memperkukuh perpaduan tetapi lebih jauh dari itu untuk mencipta negara-bangsa yang memiliki kekuatan patriotisme, beretika mulia, bermoral, bermaruah, taat menjunjung prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Negara serta taat menjalan dan mengamalkan ajaran agama secara positif dalam pelbagai aspek kehidupan supaya kita mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran sosial, politik dan ekonomi global yang semakin mencabar pada hari ini. 




Tuesday, 27 March 2012

KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM

Persoalan mengenai wanita dan institusi keluarga merupakan unsur yang amat penting dalam perkembangan sesebuah tamadun sama ada Tamadun Islam atau Tamadun yang lain. 
Wanita berperanan dalam pembentukan sesebuah keluarga dan keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. 
Islam begitu menitikberatkan persoalan wanita dan keluarga di dalam al-Quran bahawa satu pertiga dari hukum-hakamnya berkaitan dengan institusi keluarga dan peraturan- peraturan kekeluargaan yang baik.







Kedudukan Wanita dalam Islam

Menurut Islam, semua aktiviti kehidupan sama ada lelaki atau wanita merupakan suatu ibadah. Maka itu tanggungjawab seseorang lelaki atau wanita adalah sama terhadap Allah s.w.t. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, 
Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi bahagian yang lain. Mereka mengerjakan yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Surah Al-Taubah: Ayat 71).

Islam juga tidak mengabaikan peluang pendidikan kepada wanita. 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, 
Mencari ilmu itu wajib bagi semua orang Islam lelaki dan perempuan (Riwayat Ibn Majah). 
Ini menunjukkan, Islam tidak membezakan lelaki atau wanita dari segi mencari ilmu pengetahuan sebagai suatu bentuk tanggungjawab kepada umat Islam.

Kedudukan Wanita dalam Tamadun Lain

Masyarakat Jahiliah meletakkan wanita dalam kedudukan terendah dari segi peranan dan moralnya, iaitu sebagai hamba dan harta. 
Wanita dianggap oleh masyarakat Jahiliah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki, sehingga terdapat tradisi di kalangan kabilah-kabilah tertentu yang menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana dianggap membawa sial.

Tamadun Romawi menganggap wanita hanya sebagai hamba. 
Lelaki mengahwini wanita untuk kepentingan dirinya sendiri. 
Wanita tidak mempunyai sebarang hak ke atas dirinya sendiri sama ada hak memegang jawatan, persetujuan akad, mewarisi harta, menjadi saksi dan sebarang hak dalam undang-undang.
Keadaan wanita yang hanya dijadikan pelepas nafsu atau kehidupan seks bebas menyebabkan punca utama kejatuhan pemerintahan Romawi dan ketamadunannya.


Masyarakat Tamadun Greek juga turut memandang rendah kepada kaum wanita. 


Mereka menganggap wanita hanya sekadar barang perhiasan yang boleh dijual beli dan hanya layak melahirkan anak sahaja. 
Malah jika wanita melahirkan anak yang hodoh, mereka akan dibunuh. 
Wanita juga akan dieksploitasi oleh saudara maranya dan dilayan sebagai hamba untuk bekerja keras mengikut kehendak mereka. 
Layanan terhadap wanita tersebut juga dikatakan menjadi punca kejatuhan kerajaan Greek yang dianggap hebat.


Pada zaman pemerintahan Parsi dan Byzantium, kaum wanita dihina oleh ahli agama fanatik. 
Mereka menjadi sasaran segala kejahatan tanpa proses pengadilan. 
Kaum lelaki boleh melakukan apa sahaja terhadap wanita sebagaimana barang kepunyaan mereka. 
Apabila wanita di dalam keadaan haid, mereka akan diasingkan ke luar kota khas kerana dianggap bernajis.

Kedatangan Islam menjadikan wanita sebagai penggerak dalam menuju keagungan Islam, membentuk manusia-manusia gagah untuk mempertahankan kebenaran dan membasmi kemungkaran. 
Mereka mengisi hidup mereka dengan amal bakti yang ikhlas dan menjauhkan segala rupa kemaksiatan.




Sunday, 25 March 2012

PERBEZAAN ANTARA TAMADUN

Perbezaan Antara Tamadun Islam Dan Tamadun Barat

Semua orang tahu tamadun Islam dan tamadun barat ada banyak perbezaannya. Di sini kami akan memberi beberapa perbezaan yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan pengunjung sekalian. Terdapat 4 perkara yang secara ringkasnya menunjukkan  perbezaan antara tamadun Islam dan tamadun barat. Antaranya :
  • Kedudukan Agama
Tamadun Islam:
- Islam menjadi cara hidup yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia samada keduniaan / keagamaan.
- Pembaharuan dalam Islam adalah mengikut agama bukan agama mengikut pembaharuan. Walaupun begitu ia tetap 'flexible' dan tidak rigid.

Tamadun Barat:
- Bagi tamadun Barat agama adalah sebahagian daripada kebudayaan. Kebudayaan sentiasa mengalami perubahan dan akhirnya agama juga dicorak oleh perubahan.

  • Konsep Kesepaduan Dan Pengawalan
Tamadun Islam:
- Terdapat konsep kesepaduan dan pengawalan dalam Islam. Segala bentuk pembangunan kebendaan berkait rapat dengan kerohanian. Segala urusan tidak terlepas daripada mengikut prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Tamadun Barat:
- Tamadun Barat melihat perkara-perkara keduniaan hanya untuk kehidupan di dunia semata-mata.
- Segala urusan yang dilakukan tidak ada kaitan dengan agama
- Terikat dengan undang-undang tapi pengawalannya terlalu longgar.
- Bentuk pengawalan tidak didasarkan kepada iman yang kukuh.
  • Konsep Kemajuan
Tamadun Islam:
-  Islam juga mengambil kira aspek kemajuan dan perubahan tapi dengan menegaskan bagaimana cara ia dicapai dan apakah matlamatnya.
- Islam menolak konsep 'matlamat menghalalkan cara'.

Tamadun Barat:
- Kemajuan berdasarkan keuntungan semata-mata.
- Berpegang dengan konsep 'matlamat menghalalkan cara'.

  • Penekanan Sudut Kemajuan
Tamadun Islam:
- Islam menekankan kedua-dua aspek kerohanian dan kebendaan. Kemajuan dalam Islam bersifat lengkap.
- Pembangunan dan kemajuan dalam Islam adalah alat untuk mencapai kesempurnaan zaman.
- Fokus utama pembangunan dalam Islam adalah dalaman manusia itu sendiri. 

Tamadun Barat:
- Menitikberatkan aspek kebendaan dengan mengenepikan aspek kerohanian.
- Mereka menghadapi krisis nilai yang teruk akibat mengabaikan aspek kemajuan dari sudut kerohanian / spiritual. 



BICARA HATI

"Aku mengamati semua sahabat dan aku tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah.

Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi aku tidak menemukan pakaian yang lebih baik dari taqwa.


Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun aku tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik.


Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar."
...Saidina Umar Al-Khattab...

Saturday, 24 March 2012

MENGENALI LELAKI DAN PEREMPUAN


Teringat di fikiran mengenai emel seorang rakan yang ketika itu masih belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Emel yang masih saya simpan sejak tahun 2005 ini sangat menyedarkan dan sesuai dikongsi terutamanya bagi seorang Muslim. Mungkin pembaca juga pernah membacanya di laman sosial lain, dan kali ini... serupa juga, berbentuk perkongsian ilmiah dan santapan rohani bagi diri yang perlu sentiasa diingati.

"Untung la jadi lelaki... tak payah nak susah-susah bagai.. bla.. bla.. bla.."
"Untung la ko jadi perempuan.. manja!! bla. bla. bla"

Kita sentiasa mempertikaikan beratnya tanggungjawab seorang lelaki dan wanita itu. Jadi, saya ambil petikan daripada emel berkenaan. Semoga kita dapat berfikir-fikiran :) 


15 Februari 2005

Baguslah kalau kita sudah tahu akan perkara ini sekurang-kurangnya kita tidak cepat melenting jika berlaku apa-apa isu antara kaum ADAM dan HAWA dan saya juga ingin tambah iaitu betapa beratnya menjadi seorang lelaki, diantaranya adalah seperti berikut:-

Lelaki

  1. Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.
  2. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. BERATKAN ! 
  3. Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab keatas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN ! 
  4. Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin ini. Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. 

Kalau nak di bayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung. Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.


Wanita
  1. Wanita auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. 
  2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. 
  3. Wanita saksinya kurang berbanding lelaki.
  4. Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki.
  5. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. 
  6. Wanita wajib taat kpd suaminya tetapi suami tak perlu taat pd isterinya taat kepada ibunya). 
  7. Talak terletak di tgn suami dan bukan isteri. 
  8. Wanita kurang dlm beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya?? Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. 

Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: Isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki ini: suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja: Sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya. (betulkan jika saya tersilap).

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaALLAH... sayangnya ALLAH pada wanita .... kan?
  

"Akhir kalam, lelaki dan perempuan itu dicipta mempunyai keistimewaan masing-masing. Kita patut bersyukur dengan setiap pemberianNya"